Pahit dan Getir Seorang Guru
Pawana Tanah Selatan.... Kerana Allah telah
menjanjikan bahawa cahaya Islam tidak akan terpadam....
Saturday, October 16, 2010
Saya tidak mungkin melupakan segala-galanya sehingga roh
berpisah dari jasad saya. 21 Mei 2006, lebih kurang jam 2.05 petang. Sungguh
Malaikat Izrail memasuki dalam kereta dan mencabut dua nyawa yang berada disisi
saya. Cumanya ketika itu bukan giliran. Saya kira semua orang tidak
menginginkannya termasuk saya. Kemalangan yang menjadi kejutan kepada golongan
guru seluruh Negara. Dua tiga akhbar utama menyiarkan berita itu. Pada ketika
itu perjalanan kami dari Johor Bharu ke Segamat usai latihan/pemilihan sepak
takraw negeri Johor dan saya akan membawa skuad Johor ke peringkat kebangsaan
yang akan berlangsung di Perak seingat saya.
Fasa pertama latihan dan kami akan pulang dua malam ke rumah
sebelum datang semula ke Johor Bahru untuk latihan selanjutnya. Namun
segala-galanya ternoktah di atas lebuhraya utara selatan KM 50.2. Bermulalah
satu perjalanan yang mencabar tetapi cukup mendewasakan. Menjadikan saya lebih
berani dari semalam termasuk bercakap secara direct dengan
‘orang-orang besar’ dalam hireki pentadbiran pelajaran negeri Johor.
Kata Nisah Harun dalam novel ‘Mencari Locus Standi’ tentang
mahkamah; tiada yang menggembirakan di daerah ini. Tiada siapa yang
mahu datang ke tempat ini andai tidak dipaksa atau terpaksa. Mahkamah
jadi tempat yang perlu disiahkan, seolah-olah sekali melangkah ke sini akan
sial sepanjang hayat!” Ayat ini membekas dalam diri saya.
Segalanya menjadikan saya mesra dengan bahan bacaan berkaitan undang-undang,
pekeliling-pekeliling perkhidmatan awam berkaitan tahan kerja, tatatertib dan
lain-lain.
Ya! Segalanya ada hikmah dan mendidik. Dua tahun saya turun
naik mahkamah Kluang. Hari pertama memasuki mahkamah 14 April 2007, cukup
mengerikan apatah lagi hadir tanpa wang jaminan. Ketika itu saya tidak faham
bahawa seseorang yang didakwa di bawah seksyen 41 (1) AKTA
PENGANGKUTAN JALAN 1987 yang jika tertuduh disabitkan dengan kesalahan boleh
dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM5000 dan tidak lebih RM20,000, penjara
tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun (Act A 1065) mana-mana
individu yang menghadapi pertuduhan sedemikian perlu hadir ke mahkamah dengan
wang jaminan paling kurang RM5000 ( bergantung budi bicara Majistret)
Saya
tahu sekiranya saya menulis secara tuntas dan sehabis jujur akan banyak pihak
yang tersinggung. (Jadi saya cuba untuk tidak menyentuh banyak pihak) Sementelah
kes saya ini akhirnya dibela oleh KESATUAN PERKHIDMATAN PERGURUAN KEBANGSAAN
(KPPK) dalam bahasa Inggerisnya di sebut National Union Teachers Progress
(NUTP). Termasuk tekanan yang diberikan kepada saya, apabila menulis satu
artikel di dalam Buletin KPPK keluaran Oktober 2007. Ekoran itu satu
surat cadangan kepada pihak Lembaga tatatertib telah dihantar bertujuan
mencadangkan saya ditahan kerja. (Saya tidak mahu menyebut siapa yang
mencadangkan saya ditahan kerja, segelintir guru di Johor dan orang-orang kuat
KPPK mengetahuinya dan yang pastinya individu itu telah bersara)
Inilah artikel yang tersiar di Buletin KPPK
Oktober 2007
|
Sila rujuk pekeliling perkhidmatan awam bahawa seseorang
penjawat awam yang ditahan kerja akan menerima separuh dari emolumennya setiap
bulan. Ketika itu, jika tidak silap saya setelah ditolak hutang rumah, pinjaman
peribadi, simpanan dan insurans, saya hanya layak menerima RM72.15 sahaja.
Namun keyakinan kepada Allah, prinsip berani kerana benar, rahsia
surahAn-Nur, Muhammad, Thoha terbukti benar. Sungguh kenikmatan
berdoa lebih dirasai apabila kita diuji berbanding jika kita berdoa dalam
keadaan senang. Bukanlah maksudnya kita tidak berdoa tetapi percayalah! orang
yang berdoa dalam keadaan terdesak antara hidup dan mati, bebas dan dipenjara,
ditamat atau tidak kerjaya akan lebih bersungguh-sungguh menjejaki dasar hati.
Saya masih sentiasa teringat selepas solat tentang kenikmatan berdoa ketika
saya di dalam keadaan yang cukup menguji itu. Alhamdulilah! Ya Allah
kekalkanlah kenikmatan berdoa itu kepadaku dan seluruh umat Islam.
Isu tahan kerja saya mengucapkan terima kasih kepada
Setiausaha Agung KPPK Miss Loke Yim Pheng, bekas Timbalan Pengarah Pelajaran
Johor Tuan Haji Jamian Jaafar (telah bersara), Mr Chaw Tah Soo wakil KPPK
Segamat), pengetua saya pada ketika itu Puan Hajjah Muriatun Mohd Said yang
menyebelahi saya. Lalu maafkan saya Tan Sri menulis secara jujur
berkaitan cadangan tahan kerja. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Dato’
Haji Kusaini Bin Haji Hasbullah (Bahagian tatatertib), dan orang yang
memahami cerita ini Tan Sri Dr. Zulkurnain Bin Haji Awang (ketua Setiausaha,
Kementerian Pelajaran Malaysia) yangmenolak cadangan tahan kerja tersebut.
Kepada Miss Loke yang menjalankan amanah sebagai Setiausaha Agung KPPK yang
mempertahankan saya dengan bercakap secara bertentang empat mata dengan
‘kepimpinan atas’ Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bayangkan jika cikgu berada di tempat saya. Sedangkan
perjalanan saya adalah urusan tugas rasmi. Bawa murid-murid dengan bersurat arahan.
Saya masih menyimpan segalanya (satu fail lengkap dan segala catatan
peribadi turun naik mahkamah dari hari pertama hingga hari terakhir, yang jika
saya turunkan segalanya di dalam blog ini; akan ada pihak yang tersinggung atau
mahu marah dengan catatan jujur tersebut), malahan orang yang
menandatangi surat itu juga masih hidup dan saya sendiri pernah bersemuka
dengannya apabila dalam satu majlis, beliau memburukkan cara pemergian saya…….. (sukar
untuk saya menuliskannya… terasa kelopak mata ini panas! Ya Allah berikanlah
aku kekuatan menghadapi tipu daya dunia yang penuh dengan kepalsuan ini).
Saya tahu seorang guru tidak kebal dari segi undang-undang. namun ada bebrapa perkara berkaitan hal kebajikan seorang guru yang membawa murid ke tempat pertandingan, latihan atau apa sahaja yang perlu diambilberat oleh pihak berwajib
Saya tahu seorang guru tidak kebal dari segi undang-undang. namun ada bebrapa perkara berkaitan hal kebajikan seorang guru yang membawa murid ke tempat pertandingan, latihan atau apa sahaja yang perlu diambilberat oleh pihak berwajib
Sungguh besar pengajaran yang Allah berikanlah! Andainya
satu masa kita sebagai guru biasa menjawat jawatan tinggi ingatlah kebajikan
dan keselamatan terhadap ‘anak-anak buah’ kita adalah satu amanah yang besar.
Jika tidak yakin dengan hujah saya ini bacalah kitab yang berjudul “UMAR ABDUL
AZIZ, SiRAH RASULULLAH, 10 SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA” Jika orang-orang
bawahan kita ditimpa sesuatu musibah atau ujian berat dari Allah, lindungilah
mengikut kemampuan, ziarahlah melihat keadaannya;
Dunia mahkamah sungguh asing bagi seorang guru biasa seperti
saya, pun ianya adalah satu pengalaman yang sangat berharga. Saya dapat melihat
sendiri bagaimana pendakwaan, pembacaan tuduhan, pembicraan berlangsung. Masih
ingat lagi tentang kes bunuh yang dibacakan ketika hariu saya ke mahkamah dan
perbicaraan kes dadah, curi motosikal…. Yang dapt saya lihat dan dengar
sendiri. Berbalik kes saya, setelah sekian lama akhirnya kes itu dibicarakan
dengan pendakwa mengemukakan 2 pegawai penyiasat, doktor, seorang pegawai
puspakom yang memeriksa kereta saya sebagai saksi . Ketika perbicaraan
berlangsung, duduk di kandang tertuduh itu terasa kaki dan tangan sejuk seakan
menanti hukum gantung walaupun hakikatnya jika kalah dalam kes itu saya setakat
dipenjara dan bukan digantung….
Akhirnya Mahkamah memutuskan akan memberi keputusan pada 30
September 2009. Saya masih ingat malam yang damai itu, di mana solat hajat
dilakukan secara beramai-ramai. Tempatnya markas PAS Segamat. Terima kasih
kepada PAS kawasan Segamat, pemuda PAS, muslimat PAS, ibu, anak, isteri,
sahabat-sahabat, rakan-rakan guru sekolah, kenalan rapat setempat tinggal saya
dan kurang lebih dalam lapan puluh orang yang hadir pada malam itu, bersujud memohon
kemenangan untuk saya dalam kes itu.
Lalu 30 September 2010, apabila saya masuk ke kandang
tertuduh selepas nama saya dipanggil. Saya masih ingat segala-galanya. Mulut
saya kumat-kamit membaca lima ayat awal surah Thoha, apabila peguam saya C.C
Ayathurai (dibiayai sepenuhnya oleh pihak KPPK) bangun memaklumkan “Hari ini
telah ditetapkan untuk keputusan”
Majistret muda. Seingat saya namanya Mohamad Azhar Arif
menganggukkan kepala sambil sekilas memandang wajah saya dan kemudian terus
membacakan keputusan. Begini bunyinya;
“Setelah mempertimbangkan hujah-hujah pihak pendakwaan dan
pembelaan. Mahkamah berpuashati dan mendapati pihak pendakwa gagal mewujudkan prima
facie terhadap tuduhan. Oleh itu mahkamah memutuskan Encik……………….. didapati
tidak bersalah, dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya”
Dam! Majistret mengetuk tukul kayu yang lazim dan terus
bangun berlalu. Selepas itu terdengar laungan “Bangun”, saya menoleh kepada ibu
dan kakak yang duduk di kerusi dalam mahkamah di belakang saya. Kedua-duanya
berpelukan sambil menangis. Saya menekup wajah. Cuba menahannya… Pun airmata
saya gugur jua…….. Syukur kepadaMu Ya Allah! ENGKAU yang memberi ujian! ENGKAU
jua yang memberi kemenangan……..
Langgan:
Catatan (Atom)
Pos Popular
-
Hasil kajian boleh di muat turun melalui LINK INI .
-
Semalam gi desa tasik, jumpa ustaz yg masuk dalam tv dalam whi. ustaz tu pandai ubatkan orang yg kena santau, sihir, gangguan dan macam2 lag...
-
Info berikut aku ambil dari laman web kementerian kesihatan. untuk ank2 remaja yang belum pandai mengurus masa, eloklah ikut saranan yang di...
-
Hari ni 2 November 2014, aku ikut suami ke Kapit kerana urusan kerjanya, iaitu pemantauan program PerLu (Perhubungan Luar) untuk 3 orang Gur...
-
Hari ni jadual cukup padat untuk ketiga2 kaunselor SMKIS. Hazlin bawa pelajar ke Kursus Asas PRS di Tun Syed Zahiruddin di Merlimau, Helmi u...
-
Namanya guru kaunseling. Nak buat jamuan rayapun nak pengisian juga. Maka dinamakan Taklimat L4 & Majlis Jamuan Hari Raya 2010. Tahniah...
-
Cik Siti Khadija, guru kaunseling SM Teknik Jasin, dijemput untuk memberikan taklimat tentang syarat,peluang, kemudahan dan budaya di SM T...
-
Hari Selasa lepas, ada sesi "Jom Kenali IPMA" di Kolej Profesional MARA Ayer Molek. Program bermula pukul 9.00 pagi dan tamat puku...
-
Bahan-bahan : • 200 ml air • 50 gram gula merah • 1 gram ragi • botol plastik saiz besar Langkah-langkah: 1. Potong ...
-
Sudut Maklumat Sudut Rekreasi Minda Bilik Sesi Kaunseling Kelompok Bilik Sesi Kaunseling Individu Kemudahan Internet untuk pe...
Kenali diriku
- Normah
- Seorang pencari ilmu kerana sesungguhnya terlalu luas IlmuMu ya Allah. Berikan aku minda yang sihat, untuk terus menimba ilmu di bumiMu ini.