Tutuplah auratmu wahai gadisku!

Felixia dan ajaibnya sehelai hijab





MENGATUR temu janji seminggu sebelum pertemuan, wanita ini menaip perkataan Alhamdulillah pada khidmat pesanan ringkas (SMS) sebaik kami bersetuju tentang tarikh yang sesuai untuk bertemu.
Jujur, saya sedikit kaget mahu membalas semula tulisan tersebut.
Seperti kata empunya diri, Felixia Yeap: "Sebab orang pun tak pasti sama ada boleh menggunakan saya lebih daripada sepatutnya. Sebab saya belum memeluk Islam."
Pernyataan itu merujuk juga kepada perkembangan kariernya dalam dunia lakonan.
Selepas pertama kali muncul dalam drama rantaian Nikah Kita Bercinta bersama Azlee Khairi awal tahun ini, Felixia memanjangkan langkahnya sebagai pelakon.
Kali ini dia terbabit dengan drama rantaian Sarafina. Membawa watak Bella, rakan baik kepada pelakon utamanya, Sari Yanti, kata Felixia, dia menerima tawaran mengikut kesesuaian imejnya pada masa kini.
Sementelah, dia sendiri sedar diri dan faham, kekangan yang barangkali dilalui oleh pihak penerbit untuk menggunakan khidmatnya sebagai seorang pelakon adalah bersangkut dengan pegangan hidupnya.
"Macam saya cakap tadi, walaupun saya menutup aurat, saya belum memeluk Islam. Justeru, ia barangkali menjadi kekangan untuk mereka memberi watak yang bersesuaian dan tidak melanggar sensitiviti banyak pihak apabila mengambil saya berlakon, dan saya faham mengenai dilema itu," ujarnya rasional.
Dia kemudian menambah sambil ketawa: "Masalah saya satu lagi ialah saya pelat berbahasa Melayu. Jadi mungkin sukar ada watak untuk wanita pelat jika kalau bukan ia misalnya tentang seseorang yang mahu berhijrah agama."
Malah, sebagai pendatang baharu yang tidak punya asas lakonan langsung, dia mengaku perlu bertatih untuk menjadi seorang pelakon yang tidak banyak menyusahkan produksi.
Jelasnya, peluang perdana yang terbuka untuknya dalam Nikah Kita Bercinta digunakan sebaik mungkin. Bakat diasah dengan banyak memerhati dan bertanya daripada orang berpengalaman, selebihnya, dia berusaha untuk memberi yang terbaik berbekal pengalaman sebagai seorang model.
"Saya kira, hal yang sukar untuk berlakon ialah menghafal skrip dan memberi ekspresi spontan. Saya amat berterima kasih kepada seluruh produksi yang cukup sabar dan boleh menerima kekurangan saya sepanjang berlakon," katanya merendah diri.

SELEPAS memakai hijab, dia mengaku sikap barannya berubah menjadi lebih tenang.



Tiada agama
Ironi, bercakap tentang wanita berusia 27 tahun ini, namanya meledak bagai terkena jerangkap samar selepas dia memilih untuk berhijab. Ya, seorang wanita Cina yang tidak mempunyai agama memakai hijab.
Boleh dikatakan, sepanjang 10 tahun menjadi model, dua tahun kebelakangan ini, nama Felixia menjadi sebutan kerana satu keputusan yang paling penting dalam hidupnya.
Keputusan seorang model yang sebelum ini dilihat begitu berani dengan beberapa ekspresi ghairah termasuk untuk majalah khas lelaki, Playboy, berhijab dan mahu memeluk Islam membikin banyak penasaran.
"Secara peribadi, untuk diri saya, saya melihat mengapa saya boleh mendedahkan tubuh, berbikini dan buka sana sini tetapi tidak untuk tutup-tutup dan berhijab?
"Saya kira ia soal kebebasan kita sebagai seorang individu untuk memilih jalan hidup kita, dan saya pilih jalan hidup seperti ini sekarang. Saya pilih berhijab dan mahu bulat hati memeluk Islam," katanya tegas.
Wanita yang lahir di Kuala Lumpur, namun menghabiskan masa remajanya dengan bersekolah di Ipoh, Perak ini kemudian melanjutkan cerita.
Tanpa berahsia, dia memberitahu sejak kecil tidak pernah mempunyai pegangan agama. Dia tidak percaya Tuhan dan tidak tahu di mana Tuhan atau agama yang layak dijadikan pegangan hidup.
Sehingga tahun lalu, pada saat pertama kali dia menggayakan hijab untuk sebuah iklan komersial, ada satu rasa yang ajaib duduk di dalam hatinya.
"Saya seorang Cina tapi saya free thinker yang tak punya pegangan agama sejak kecil," katanya tanpa selindung.
Felixia lantas memanjangkan bicara: "Kemudian, saya hadir untuk satu uji bakat iklan komersial Celcom. Saya gagal untuk mendapatkan peluang itu.
"Namun, kerana iklan tersebutlah ia telah merubah hidup saya. Pada iklan itu, saya harus berhijab dan saya fikir mengapa perlu saya tolak?
"Sebaik menyarung hijab, hati saya tiba-tiba terusik. Satu perasaan yang sukar saya ungkap menyelinap dalam hati. Betapa besarnya kuasa sehelai kain nipis yang menutup kepala saya mampu merubah kehidupan saya kini. Sungguh luar biasa."
Sejak pertama kali menggayakan tudung tersebut, dia mabuk kepayang untuk berhijab, sekali gus menutup aurat. Perlahan-lahan dia keluar rumah memakai hijab dan mula memahami konsep bahawa hijab bukan satu bebanan untuk seorang wanita Islam, sebaliknya ia adalah satu suruhan yang memberi seribu satu manfaat kepada yang menurut perintahNya.

FELIXIA sudah memiliki nama Islam yang cukup indah. Dia memperoleh nama tersebut melalui mimpi.


Kini, selepas lima bulan memakai hijab, Felixia langsung tidak kekok dengan imej 'tertutupnya'.
"Saya merasakan suatu ketenangan yang luar biasa. Ia melengkapkan pencarian saya terhadap satu kepercayaan iaitu mencari agama yang memberi ketenangan jiwa dan saya perolehnya dengan hanya sehelai kain nipis yang menutup kepala!" ujarnya penuh takjub.
Islam
Sedar timbul banyak pertikaian tentang pendiriannya memakai hijab, Felixia mengatakan, dia tidak perlu mati dengan kecaman orang.
Sebagai seorang individu yang telah melalui banyak jalur hidup yang tidak sedikit sukarnya, Felixia tahu keperluan yang paling baik di dalam hidupnya.
Ditanya selepas berhijab, apa yang disusun mahu mindanya, pantas dia memberitahu mahu punya pegangan agama dan tentulah ia agama Islam. Agama paling mulia di dunia.
"Selepas memakai hijab, saya belajar serba sedikit tentang Islam dan saya mula jatuh hati dengan kesederhanaan agama yang memberi ketenangan kepada saya kini.
"Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk mempunyai agama, apa lagi Islam. Sebab itu, saya mahu segera memeluk Islam. Sengaja saya pilih bulan Ramadan yang jatuh pada Julai ini sebagai bulan untuk saya mengucap dua kalimah syahadah.
"Pertama, selain mahu mengambil keberkatan bulan mulia ini, Julai ini juga merupakan bulan kelahiran saya. Justeru, saya melihat ia sebagai fasa hidup yang lengkap untuk saya 'lahir semula' dalam kehidupan baharu," katanya penuh bahagia.
Namun, cerita mahu memeluk Islam tidak terjadi begitu sahaja. Ternyata ada cerita di sebalik terpanggilnya Felixia untuk menjadi seorang Mukmin.
"Suatu malam, selepas beberapa bulan memakai hijab saya bermimpi. Dalam mimpi itu, saya melihat sepotong nama daripada cahaya yang cukup bersinar-sinar.
"Peliknya, sebagai seorang yang jarang mengingati mimpi, saya bangun tidur dan boleh merakam semula momen mimpi saya.
"Paling ketara ialah tentang nama yang tertulis di dada langit dengan cahaya bersinar-sinar itu buat saya. Apabila saya mencari maksudnya, ia cukup indah," ceritanya bersungguh-sungguh.
Ditebak adakah itu nama yang bakal digunakan sebaik dia memeluk Islam, pantas dalam senyum yang begitu manis Felixia mengangguk.
"Ya, itulah nama Islam saya sebaik saya mengucap dua kalimah syahadah pada Julai ini. Saya percaya semua ini aturan olehNya yang terbaik buat saya. Saya amat bersyukur," ujarnya.

MEMPUNYAI banyak pakaian seksi, Felixia bagaimanapun tidak memberikannya kepada sesiapa kerana tidak mahu menggalakkan wanita mendedahkan aurat.


Ustaz
Perubahan imejnya sekali gus membuat semua hal yang berada di sekelilingnya berubah.
Kerjayanya sebagai model memperlihatkan dirinya lebih banyak memperaga busana Muslimah, berbanding memperaga tubuh seperti dahulu.
Pada masa yang sama, rezekinya dalam bidang seni bercambah apabila dilamar menjadi pelakon.
Paling ketara, akuinya, banyak lelaki yang mendekat terdiri daripada lelaki Melayu yang tertarik dengannya termasuk dalam kalangan ustaz.
Katanya panjang lebar: "Berbanding dahulu, lelaki yang mendekati saya pada kali ini mengajak saya berkahwin, bukan sekadar mahu memuaskan nafsu.
"Ada juga ustaz yang berminat terhadap saya.
"Prinsip saya mudah. Seperti mana saya memakai hijab bukan kerana seorang lelaki, saya juga tidak mahu memeluk Islam kerana mahu dinikahi seorang lelaki Islam. Sebaliknya, saya lakukan semua perkara atas kerelaan sendiri.
"Jika tiba waktu saya berkahwin kelak, saya berdoa agar iman suami saya lebih tebal daripada saya untuk membimbing saya sebagai seorang isteri dan Muslimah yang baik.
"Saya tidak mahu Allah membalikkan hati saya semula dengan tidak mempunyai kepercayaan terhadap agama. Justeru, saya memerlukan seorang lelaki yang benar-benar beriman kerana Allah SWT." 


sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz31tp5LE7h 

Remaja Hebat Patuh Pesanan Ibu

Remaja yang hebat ialah yang hebat akhlaknya, jujur dan amanah dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang anak. Paling utama ialah kepatuhannya kepada seorang perempuan bernama Ibu. Paling utama ialah kepatuhannya kepada seorang perempuan bernama Ibu. Paling utama ialah kepatuhannya kepada seorang perempuan bernama Ibu. Segala pesanan ibu tidak pernah sama sekali diingkari selagi pesanan itu tidak bercanggah dengan syariat. Hebatnya seorang remaja bila dia jujur dan amanah mematuhi setiap pesanan ibunya. Ibu pesan solat lima waktu buat tanpa rasa penat, dia patuh dan hidupnya berkat. Ibu pesan belajar rajin-rajin, dia patuh, akhirnya dia berjaya cemerlang. Ibu pesan jauhi dadah dan rokok, dia patuh dan dia hidup sihat. Ibu pesan jauhi zina, dia patuh dan dia beroleh pasangan mulia. Dia patuh semua pesanan ibu, kehidupannya penuh restu. Kisah berikut ialah contoh remaja yang hebat akhlaknya, alangkah bestnya kalau semua remaja dapat contohi.


Kisah kagum seorang budak penjual kuih

Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

dipetik dari:- http://detikislam.blogspot.com/2013/03/kisah-kagum-seorang-budak-penjual-kuih.html#

Menangislah Wahai Mata!

MENANGISLAH WAHAI MATA!
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Ada orang berkata ‘aku tidak mahu menangis dalam hidup ini’. Ada pula yang berkata ‘apalah faedahnya menangis?! Ia tidak dapat mengubah apa-apa’. Ada juga yang berkata ‘aku bencikan airmata’. Ungkapan-ungkapan seumpama ini mungkin dikeluarkan oleh mereka yang merasa tekanan dalam hidup. Namun, hakikatnya dalam hidup ini, insan memerlukan airmata tangisan dalam membentuk peribadi yang halus dan luhur antara dia dengan jiwanya, antara dia dengan Allah S.W.T.
Jenis Tangisan
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam Zad al-Ma’ad menyebut tentang jenis-jenis tangisan (al-bukaa). Ada tangisan kasihan dan simpati (ar-rahmah wa ar-ra`fah). Ada tangisan takut dan gerun (al-khauf wa al-khashyah). Ada tangisan cinta dan rindu (al-mahabbah wa ash-syauq). Ada tangisan suka dan gembira (al-farh wa as-surur). Ada tangisan kerana dukacita (al-hazn).
Perbezaan antara tangisan dukacita dengan tangisan takut ialah dukacita berkaitan yang sudah berlaku sementara takut berkaitan yang belum berlaku. Tangisan gembira airmatanya sejuk dan jantung hati sukacita. Tangisan sedih airmatanya panas dan jantung hati pula berdukacita.
Ada pula tangisan tewas dan lemah (al-khaur wa ad-dha’f). Ada pula tangisan munafiq (an-nifaq) di mana mata menangis sedangkan kalbu keras. Dia menzahirkan kusyuk padahal dialah orang yang paling keras jantung hatinya. Ada tangisan yang diupah dan dibayar. Ini seperti tangisan meratapi mayat yang dibayar upahnya. Ada tangisan mengikut (al-muwafaqah) di mana seseorang menangis kerana melihat orang lain menangis. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad 1/184-185. Beirut: Muassasah ar-Risalah).
Tangisan Indah
Tangisan kerana takutkan Allah atau tangisan kerana merindui Allah adalah tangisan yang lahir jiwa yang khusyuk. Suatu perasaan yang begitu indah yang tidak dapat difahami melainkan mereka yang mendapat kurnia Allah untuk matanya menangis kerana rindukan Tuhan, ataupun gerun kepadaNYA. Suatu perasaan kudus lagi nikmat yang meliputi roh akan dirasai oleh sesiapa yang Allah rezekikannya tangisan jenis ini. Matanya menangis, jiwanya tenggelam dalam nikmat rindu, cinta dan gerun kepada kebesaranNYA. Tidaklah dapat difahami hal ini melainkan mereka yang telah merasainya. Bak kata sebahagian orang sufi “sesiapa yang tidak merasa, dia tidak akan memahaminya”.
Hanya jiwa-jiwa yang hampir dengan Allah sahaja yang akan merasai nikmat ini. Lebih hampir seseorang dengan Allah, lebih seringlah zahirnya nikmat ini pada diri seseorang.
Al-Quran pada banyak tempat memuji tangisan ini. Firman Allah memuji para rasulNYA: (maksudnya)
“..apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (Allah), mereka segera sujud serta menangis”. (Surah Maryam: 58).
Firman Allah memuji orang-orang soleh pula: (maksudnya)
“..sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud. Sambil mereka berkata (dalam sujudnya): “Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk” (Surah al-Isra`: 107-109)
Al-Quran juga mengutuk mereka yang keras jiwa mempersenda dan tidak menangis terhadap ayat-ayat Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan ini (al-Quran)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis?” (Surah al-Najm: 59-60).
Berusaha
Kita hendaklah berusaha agar dapat menangis kerana takut dan juga kerana rindukan Allah. Rindukan Tuhan itu suatu nikmat yang amatlah rugi sesiapa yang tidak pernah merasainya. Rindu itu membersihkan jiwa dari kekotoran yang menyalutinya. Ia adalah ubat kepada segala dukacita dunia. Apabila rindu itu menyelinap masuk ke dalam jiwa, ia bagaikan satu sentapan yang mengeluarkan dunia dari perasaan, yang menjelma ialah lautan kenikmatan rohani yang tidak dapat digambarkan oleh bahasa. Airmata kusyuk itu amat segar dan menyejukkan jiwa.
Nikmat inilah yang disebut oleh para ulama salaf. Nikmat inilah yang selalu dibayangkan oleh golongan sufi yang luhur. Nikmat inilah yang dirasai oleh sesiapa yang mengikut jalan salafus soleh dengan ikhlas dan mencari hidayah Allah.
Setiap insan hendaklah berusaha mencapai keadaan itu. Walaupun ia kadang-kala hanya hadir dalam waktu-waktu tertentu, namun ia adalah amat bermakna untuk jiwa. Bukan semua orang lunak jiwanya sehingga takut dan rindukan Allah. Dalam hadis, Nabi s.a.w menyebut tujuh golongan yang mendapat perindungan Allah pada hari Akhirat kelak, salah satunya:
“lelaki yang mengingati Allah secara sendirian lalu matanya menangis” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata Abdullah bin ash-Shakhir:
“Aku masuk kepada Rasulullah s.a.w, baginda sedang bersolat, dalam dada baginda bagaikan bekas air yang mendidih kerana menangis” (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dll. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menilainya sahih)
Mata yang menangis kerana takutkan Allah, mengenang kekurangan dirinya dalam mentaati Allah, mengenang dosa-dosanya terhadap Allah adalah mata yang soleh. Tangisan keinsafan adalah satu kurniaan Allah buat jiwa insaf. Tangisan itu memelihara mata dari api neraka. Nabi s.a.w menyebut:
“Dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam berkawal di jalan Allah” (Riwayat al-Tirmizi, katanya: hasan gharib. Al-Albani menyatakan sahih).
Menangislah
Maka menangislah wahai mata! Berusahalah menangis untuk mencapai tangisan nikmat itu. Berusahalah menangis untuk mencapai rasa takut kepada Allah atas kekurangan diri terhadap hak-hak Allah yang kita telah cabul ataupun kurangkan. Malu kepada Allah. Rasa bersalah terhadapNYA. Rindukan cintaNYA dan gerunkan kebesaranNYA. Dalam kalangan salafussoleh ada menyebut:
“Menangislah kerana takutkan Allah. Jika engkau tidak menangis, berusahalah menangis” (Zaad al-Ma’ad, 1/185).
Saya suka dengan kisah Salman al-Farisi sebelum beliau meninggal. Ketika dia dalam kesakitan, Sa’ad bin Abi Waqqas menziarahinya. Salman menangis. Sa’ad bertanya:
“Apakah yang membuat engkau menangis wahai saudaraku? Tidakkah engkau telah bersahabat dengan Rasulullah s.a.w. Tidakkah ini dan itu telah kau lakukan?” Jawab Salman: “Daku tidak menangis kerana salah satu dari dua perkara. Aku tidak menangis kerana cintakan dunia ataupun bencikan akhirat. Namun daku menangis kerana mengenang Rasulullah s.a.w telah berjanji denganku satu perjanjian yang mana aku berpendapat aku telah melanggarnya”. “Apakah yang Rasulullah janji dengan engkau” Tanya Sa’ad. Jawab Salman: “Baginda berjanji bahawa cukuplah seseorang kamu mengambil dunia dengan kadar seorang pengembara. Daku rasa daku telah melanggarnya”. (Riwayat Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Hadis sahih)
Padahal, dalam Sahih Ibn Hibban diriwayatkan Salman meninggal hanya lima belas dirham sahaja yang berbaki dari hartanya.
Kita semua lebih patut menangis dibandingkan Salman al-Farisi sahabi Nabi s.a.w yang mulia itu. Menangis mengenang diri kita dan kekurangan yang telah kita lakukan terhadap hak-hak Allah. Menangislah wahai mata! Di sana engkau temui nikmat hubunganmu dengan tuhanmu.

Teguhkan pendirianku ya Allah!!!

Terlalu banyak masa terbuang bila aku sering berMB. Rasanya manafaat untuk diri aku tak banyak manapun. Nak kata boleh mendekatkan diri kepadaNYA melalui status rakan MB tak juga. Yang ketara ialah aku hanyut macam budak2 remaja. Kubur dah kata mari, rumah dah kata pergi, tapi tak sedar2 diri. Maka hari ini bertarikh 29 Rabiulakhir 1435 hijrah aku ikut jejak Prof MKI. Mudah2an Allah berikan pendirian yang teguh buat diriku.

Zuhud

Dua hari program,  "tanyalah ustaz" di tv9 jam 7 hingga 8 pagi menyiarkan slot bertajuk "zuhud" bersama Dr. Mohd Izhar Arif, pensyarah feqah dari UKM.

Bagaimana nak jadi orang yang zuhud? 
1. Makan dan 2. minumlah dengan baik untuk diri sendiri dan juga untuk orang lain (jiran tetangga & sanak saudara), 3. dan bersedekahlah, jangan sampai takbur. (maksud hadis)

- Zuhud bukan miskin dan papa kedana
- Zuhud ialah bagaimana cara kita gunakan dunia untuk akhirat, bagaimana kita gunakan harta ke jalan yang baik untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata.

(Sa'adah) Kegembiraan di dunia:-
1. Isteri solehah
2. Kenderaan yang selesa
3. Rumah yang (wasiah) besar dan luas.

Apakah amalan yang terbaik untuk jadi orang yang zuhud di dunia dan memberi manafaat di akhirat:-
1. baca Quran
2. perbanyakkan solat malam
3. berkawan dengan alim ulama'
4. kawan dengan orang yang baik



Pos Popular

Kenali diriku

Foto Saya
Seorang pencari ilmu kerana sesungguhnya terlalu luas IlmuMu ya Allah. Berikan aku minda yang sihat, untuk terus menimba ilmu di bumiMu ini.