10 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bertemasya di Pantai Sri Pengkalan
Satu kena rogol beramai-ramai
Tinggal lagi Sembilan.
9 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta seks - video lucah di apartmen
Satu sempat dicekup pencegah maksiat
Tinggal lagi lapan.
8 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Pergi ke konsert Jom Heboh
Satu hilang ikut jantan
Tinggal lagi tujuh.
7 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi GRO di Kelab Nilam
Satu dibawa pulang oleh pelanggan dan dibunuh
Tinggal lagi enam.
6 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta arak dan karaoke di kota
Satu terus jadi pelacur
Tinggal lagi lima.
5 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Satu disuruh seludup dadah dan ditangkap
Tinggal lagi empat.
4 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bercinta dengan Mat Hitam Uganda
Satu sudah murtad hendak kahwin
Tinggal lagi tiga.
3 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Terjebak dengan kumpulan bohsia
Satu ditangkap bunuh bayinya
Tinggal lagi dua.
2 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi Minah Rempit bersama Mat Kutu
Satu mati eksiden ketika lumba haram
Tinggal lagi satu.
1 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Sangat-sangat susah hati
Termenung-menung seorang diri
Bagai ayam mabuk tahi
Rasa hidup sunyi sepi
Berkurung dalam bilik setiap hari
Ibu bapa tak ambil peduli sibuk ke sana sini
Lalu terjun dari pangsapuri
Langsung diapun mati
"Janganlah kamu membunuh diri kamu /membunuh sesama orang Islam. Sesungguhnya Allah menyayangi kamu. Dan barangsiapa yang berbuat demikian secara menentang dan menganianyai diri, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka, dan hal yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Pimpinan al-Rahman, an-Nisa, ayat 29-30, hal.155)
Puteri Lindungan Bulan, sebuah cerita lisan Kedah Tua tentang seorang puteri keramat yang jadi rebutan Kerajaan Acheh. Dikatakan pusaranya sentiasa terlindung oleh cahaya bulan.
BIODATA: Dr Fatimah Busu
PENGARANG veteran wanita ini mewarnai dunia sastera tanah air sejak 41 tahun lalu dan pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM). Antara karyanya, Koleksi Cerpen Al-Isra (10 cerpen) membawa persoalan falsafah, politik, agama, unsur mitos dan lagenda dalam sastera Melayu tradisional dengan tanggapan baru. Kumpulan Cerpen Lambaian Tanah Hijau memuatkan 15 cerpen dengan tema kritik sosial dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Belanda, Tamil, Perancis, Mandarin, Jerman dan Vietnam. Kumpulan Puisi Apa Ada Di Sana (2003), Antologi Cerpen Keajaiban Alam (2004) manakala novelnya, Ombak Bukan Biru (1977), Kepulangan (1980), Salam Maria (2004), The Missing Piece - Bahagian I (2005) dan The Missing Piece - Bahagian II (2006).
0 comments:
Catat Ulasan