BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu,
guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
nukilan
USMAN AWANG 1979
Tiap kali tiba hari guru, sajak inilah yang paling aku suka. Sangat bermakna. Tahun 1979 inilah aku mula dipanggil 'cikgu'. SMK Assunta, Petaling Jaya. Itulah sekolah pertama aku ditugaskan secara rasminya. Posting pertama. Sekolah terkemuka di Petaling Jaya. Aku, seorang budak kampung mengajar budak2 town. Nak kata aku mengalami kejutan budaya dari kampung ke bandar, tak jugak. Lagak cikgulah katakan. Waktu itu aku bangga punya jati diri sebagai seorang guru Islam, Ramai guru perempuan beragama Islam seperti aku, tapi yang pakai tudung cuma aku. Guru yang mengajar mata pelajaran agama Islampun cuma pakai tudung piknik, yang nampak jambul tu. Aku tak kisah. Agaknya itulah kekuatan yang aku bina dalam diriku. Aku tidak terjebak langsung dengan budaya orang kota yang lepas bebas itu. Nak buat apepun, emak ayah bukan tahu, tapi, Alhamdulillah, aku sangat yakin bahawa Tuhan tahu, itulah kekuatanku. Aku sangat bersyukur, dapat kawan2 yang baik2 macam aku juga. He he he, puji diri sendirilah tu.
Memang aku bersyukur yang amat, aku tidak tersalah pilih kawan. Memang benarlah kata nabi junjungan kita, "Kalau kita berkawan dengan tukang besi, pasti kan terkena percikan bunga api yang boleh merosakkan baju dan juga berbau busuk dik hapak peluh si tukang besi. Kalau kita berkawan dengan pembuat minyak wangi, nescaya bau wanginya terpalit juga ke baju kita."
0 comments:
Catat Ulasan